KUCHING: Kerajaan Persekutuan digesa agar menumpukan lebih kepada desentralisasi dan bukannya pemusatan terhadap kerajaan negeri.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata adalah perlu bagi Kerajaan Sarawak diberi kuasa autonomi yang lebih agar dapat menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat dengan cara yang berkesan.
“Pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) sebagai jabatan teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182 adalah sangat wajar untuk dipuji.
“Dengan adanya pengiktirafan berkenaan, Kerajaan Sarawak kini mempunyai kuasa untuk melaksanakan projek Persekutuan di Sabah dan Sarawak dengan had sehingga RM50 juta.
“Justeru itu, ini merupakan manifestasi jelas bahawa desentralisasi merupakan satu langkah yang tepat,” katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.
Di samping itu, beliau turut berkata kementeriannya akan terus berusaha dengan Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan lebih banyak projek persekutuan yang diluluskan untuk Sarawak dan juga dana untuk disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri.
“Apa yang paling penting bagi kepimpinan sekarang adalah bagi menunaikan janji yang telah dibuat oleh pengasas negara kita selepas merdeka.
“Justeru itu, kami akan meneruskan agenda ini mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, MA63, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perlembagaan Negeri Sarawak dan Undang-undang Negeri,” katanya.