Berani timba ilmu

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

SIBU: Semangat serta perjuangan mendiang Barbara Mendu Bay harus diterapkan dalam diri semua ahli Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) untuk menjadikan organisasi itu memainkan peranan kepada wanita Dayak di negeri ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang Ming Tee berkata, mendiang merupakan pengasas dan presiden pertama SIDS dalam era 50-an.

“Presiden SIDS yang pertama itu (mendiang Barbara) adalah ikon dan teladan yang hebat kepada wanita Dayak.

“Semangat dan pengorbanannya harus dijadikan contoh kepada SIDS untuk menempa lebih banyak lagi kejayaan dan fungsinya kepada wanita komuniti Dayak,” katanya berucap merasmikan Seminar Pertanian dan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) SIDS Cawangan Sibu Ke-31 di sini pada Sabtu.

Tiang yang juga Adun Pelawan berkata, walaupun mendiang Barbara berasal dari latar belakang yang sangat sederhana, tiada yang menafikan semangat dan komitmennya yang tinggi untuk mengasaskan SIDS bagi mendekati wanita Dayak.

Menurutnya, menerusi SIDS yang ditubuhkannya ia membantu wanita Dayak dengan melatih mereka menjadi pemimpin, usahawan dan barisan hadapan untuk berkhidmat kepada Sarawak pada tahun 50-an.

Ujar beliau, mendiang Barbara tidak pernah menganggap dirinya sebagai wanita atau Dayak menghadapi kekurangan.

“Mendiang Barbara telah berdikari, bersemangat dan cukup prihatin untuk melangkah ke hadapan untuk berkhidmat kepada rakyat Sarawak dan orang lain yang memerlukan bantuan semasa zaman Perang Dunia Kedua dahulu.

“Pengaruh serta perjuangan mendiang Barbara wajar diteruskan pada abad ke-21 untuk memberi inspirasi dan memperkasakan semua ahli SIDS,” tegas beliau.

Presiden SIDS Dato Ir Alice Jawan Empaling terdahulu dalam ucapan aluannya menggalakkan ahli SIDS supaya berani menimba ilmu demi kebaikan diri dan masyarakat.

Beliau yang juga Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak berharap ahli serta wanita Dayak berani menyertai dan menyokong pelbagai program kerajaan yang telah dirancang.

Beliau juga turut mengingatkan ahli tentang teras strategik SIDS yang memerlukan sokongan semua ahli.

Pada majlis tersebut, Tiang turut memberikan geran sebanyak RM5,000 kepada SIDS Cawangan Sibu bagi kegunaan aktivitinya.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi SIDS Cawangan Sibu Angelyn Uchi Maseng serta 135 orang ahlinya. 

Berkaitan