Belia perlu aktif bantu masyarakat

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Belia digesa terlibat dengan program berkaitan masyarakat untuk memastikan mereka terhindar daripada terjebak dengan gejala tidak sihat.

Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata, ia akan menjadikan mereka lebih berilmu, berkebolehan dan bertanggungjawab.

Menurutnya, belia di Batu Kitang setakat ini memberikan kerjasama baik terhadap program komuniti yang dilaksanakan sebelum ini.

“Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menekankan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Saya sebagai wakil rakyat di sini menggesa dan sentiasa memberi sokongan kepada anak muda untuk bergiat aktif dalam aktiviti melibatkan masyarakat.

“Program kemasyarakatan membolehkan kita merasai dan mengetahui masalah rakyat menerusi program turun padang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Home of Peace di Jalan Landeh kelmarin.

Majlis tersebut anjuran Pasukan Khidmat Belia SUPP Batu Tiga dengan sumbangan barangan keperluan harian termasuk ayam, ikan, sayur dan lampin pakai buang.

Sementara itu, Khere Chiang memuji usaha dilakukan belia yang ikhlas menabur bakti kepada masyarakat.

“Sejak dua tahun lalu, kita nampak perubahan dalam kalangan belia yang semakin berminat dengan program kemasyarakatan,” ujarnya.

Berkaitan