MUKAH: Bakal penuntut secara automatik berdaftar sebagai ahli alumni selepas menamatkan pengajian mereka di Politeknik Mukah (PMU).
Pengarah Bahagian Kurikulum Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Zamzam Mohd Walid berkata, penuntut harus berbangga kerana merupakan sebahagian daripada komuniti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“Komuniti TVET kini menjadi tumpuan utama kerajaan dalam usaha menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi.
“PMU sebagai institusi pendidikan dan latihan pascasekolah akan memberi akses secara meluas kepada lepasan sekolah untuk melanjutkan pengajian bagi membina kerjaya sama ada sebagai pekerja atau sebagai usahawan.
“Ini adalah bagi menyasarkan modal insan yang berkemahiran tinggi serta graduan yang mempunyai ilmu, akhlak dan adab untuk menjadi insan mulia,” katanya berucap merasmikan Majlis Makan Malam Pragraduan Ke-15 dan Majlis Penganugerahan Pingat Ketua Jabatan di Kingwood Resort, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, JPPKK di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa mengatur perancangan strategik dengan merangka tindakan komprehensif untuk menjayakan program pembangunan modal insan negara.
Sehubungan itu, beliau menasihati graduan supaya tidak berhenti menimba ilmu dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat kerana perubahan teknologi sentiasa mendahului zaman.
“Peningkatan produktiviti dan daya saing negara memerlukan tenaga kerja yang kreatif, berinovasi dan berintegriti.
“Saya berharap agar graduan tidak mensia-siakan ilmu dan kemahiran yang ada kerana negara amat memerlukan tenaga kerja mahir dan anda ialah calon yang sesuai dalam menjana pendapatan negara amnya.
“Dalam masa sama, diharapkan juga anda bergiat lebih aktif dalam Persatuan Alumni PMU yang telah berdaftar untuk memberi ruang kepada graduan menceburi aktiviti-aktiviti yang dirancang oleh persatuan tersebut,” ujarnya.
Tambahnya, graduan juga perlu bergerak seiring dengan arus pembangunan revolusi industri 4.0 yang menjadi trend pada masa kini dan sindrom takut teknologi perlu diketepikan kerana hala tuju industri dipacu oleh perkembangan teknologi dunia.