GOMBAK: Pengarah Pusat Penyelidikan Pas Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, selepas Pas memutuskan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), kerusi Parlimen Gombak tidak lagi menjadi kerusi selamat buat Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali.
Menurut Zuhdi, apabila berlaku pertandingan tiga penjuru melibatkan PAS-BN-PKR di Gombak, Azmin sendiri sukar mempertahankan Gombak, apatah lagi jika meletakkan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Muhammad di situ.
“Sebab pengundi Gombak ini pengundi bandar yang melalui reformasi zaman Dr Mahathir, mereka nampak apa yang berlaku,” ujar Zuhdi dalam kenyataan selepas kuliah Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melawar pada Ahad.
Difahamkan sebelum ini, Azmin memberi laluan kepada Mahathir bertanding di Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang.
Zuhdi menganggap Mahathir hanya berpotensi di Langkawi, Kedah.
Nasib calon Harapan di Parlimen Gombak dan DUN di bawahnya menjadi persoalan selepas Pas memutuskan kerjasama politik dengan PKR April 2017.

Azmin memenangi Parlimen Gombak sejak 2008.
Sementara, Hasbullah Mohd Ridzwan dari Pas mempertahankan kerusi Gombak Setia dan wakil rakyat Parti Amanah Negara (Amanah) Saari Sungib mempertahankan kerusi Hulu Kelang.
Wakil rakyat PKR Amirudin Shari pula mempertahankan kerusi DUN Batu Caves.
Sementara, Zuhdi sempat menempelak mengatakan Amanah parti kecil dengan pemimpin yang tidak memiliki sokongan jentera yang kuat di peringkat akar umbi.
Zuhdi berkata wajar parti itu mendapat agihan hanya 27 kerusi Parlimen.
“Kalau dapat 27 kerusi, pada saya memang layak, sebagai parti kecil seperti itu,” katanya.
Zuhdi percaya ahli politik Amanah kuat sebelum ini ketika mereka bersama Pas.
“Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, apabila mereka keluar Pas, mereka tiada kekuatan,” ujarnya dan percaya Harapan menyedari Amanah tidak mampu menarik sokongan pengundi Islam.