KUCHING: Pemain kelahiran Brazil, Aylton Ferreira Ananias akan kembali mengemudi jentera pertahanan tengah skuad Kuching City FC bagi menghadapi kempen Liga Super 2023 yang akan bermula pada 25 Februari ni.
Sekali gus mengambil alih posisi pemain import baharu iaitu Mihailo Jovanovic yang berehat panjang dan masih melalui proses pemulihan ekoran dibelenggu kecederaan ibu jari kaki kanannya.
Perkara tersebut disahkan Pengerusi Kuching City FC, Fazzrudin Abdul Rahman semalam.

“Dia (Aylton Ferreira Anannias) masih dalam skuad Kuching City, dan akan kembali menerajui jentera pertahanan tengah berikutan bintang tinggi lampai dari Serbia yang dibelenggu kecederaan,” ujar Fazzrudin kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Fazzrudin, Aylton Ferreira Anannias bukan asing dalam skuad terbabit malah merupakan tonggak utama bagi kem kendalian Irfan Bakti sepanjang musim lepas.
Justeru, beliau yakin kredibiliti yang ada pada Aylton Ferreira Anannias mampu membentuk kombinasi hebat bersama rakan-rakan baharunya ketika ini.
Pada dua perlawan persahabatan menentang Sri Pahang FC dua hari lepas (Ahad & Isnin), Aylton Ferreira Anannias diturunkan dalam dua barisan kesebelasan berbeza.