KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd merancang untuk melancarkan bank digitalnya menjelang akhir 2023 dan menyasarkan bank itu mencatat keuntungan dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang, kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Vivek Sood.
Vivek berkata komitmen untuk modal awal bank digital itu adalah sekitar RM100 juta, dan ia akan menawarkan pelbagai produk yang besar, termasuk deposit untuk pemegang akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) serta produk insurans dan produk kewangan lain yang akan dilancarkan secara beransur-ansur bermula akhir 2023.
“Kenapa kami optimis tentang hasil bank digital itu, ia sebenarnya adalah daripada fakta bahawa terdapat banyak perkara yang telah kami lakukan yang mana perlu diterjemahkan kepada bank.
Sebagai contoh, kami telah menjayakan pinjaman kira-kira satu setengah bilion kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam perniagaan sedia ada kami iaitu Boost Credit.
“Kami juga memiliki sejumlah setengah juta pelanggan aktif setiap bulan yang berpotensi menjadi pelanggan bank digital itu pada hari pertama.
Kami sedang menyediakan rancangan dan akan memerlukan kelulusan yang sewajarnya daripada bank pusat sebelum kami boleh melancarkannya,” katanya pada sidang media maya selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan itu semalam.
Unit Axiata, Boost Holdings Sdn Bhd, adalah konsortium dengan RHB Bank Bhd, yang memperoleh satu daripada lima lesen bank digital yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia.
Selain mereka, penerima lesen digital lain ialah konsortium yang diketuai YTL Digital Capital Sdn Bhd dan Sea Ltd; konsortium yang diketuai GXS Bank Pte Ltd dan Kuok Brothers Sdn Bhd; sebuah konsortium yang diketuai oleh KAF Investment Bank Sdn Bhd; dan konsortium MoneyLion Inc, Aeon Financial Service Co Ltd dan Aeon Credit Service (M) Bhd.
Vivek berkata kumpulan itu tidak menjangkakan sebarang halangan untuk bank digital itu setakat ini, tetapi keseluruhan proses bagi pelancaran bank itu memerlukan semakan menyeluruh dan kelulusan yang diperlukan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).
Beliau berkata Axiata bekerjasama rapat dengan BNM untuk mengatasi sebarang masalah kelulusan dan menempatkan langkah-langkah keselamatan siber yang mantap bagi memastikan privasi dan mencegah pelanggaran data.
“Bukan itu sahaja, semakan operasi yang dilakukan oleh pihak ketiga, serta semakan lanjut yang dilakukan oleh bank pusat, akan mengambil kira sama ada platform itu terjamin secukupnya,” tambah beliau.
Ditanya sama ada Axiata akan menyemak keseluruhan portfolionya, termasuk penjualan aset, Pengerusinya Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan menjelaskan kumpulan itu sentiasa mengkaji semula portfolionya bagi memastikan ia dapat memanfaatkan masa depan.
“Bukan sahaja jualan dan pembelian tetapi juga penggabungan. Kami sedang melihat penggabungan di Sri Lanka dan Indonesia, yang mana kami kini telah memperoleh PT Link Net Tbk,” tambahnya. – BERNAMA