Awas ajaran sesat di media sosial

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan memantau serta menyekat penyebaran sebarang video berunsur ajaran sesat, termasuk dari negara jiran, yang tular di media sosial.

Menteri Fahmi Fadzil berkata, pihaknya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta majlis-majlis agama negeri dalam usaha mengenal pasti dan mengekang penularan bahan seperti itu.

“Kita akan pastikan penularan ini bukan hanya disekat, tetapi mereka yang terlibat dalam penularan itu juga boleh diambil tindakan. Jadi, itu sebab kenapa kita sentiasa beri peringatan untuk elakkan daripada menyebar bahan fitnah, melibatkan 3R (raja, agama dan kaum) termasuklah ajaran sesat.

“Kita akan terus memantau, bila kita terima permohonan ataupun permintaan untuk ambil tindakan, SKMM akan segera berhubung dengan penyedia perkhidmatan platform tersebut,” katanya selepas merasmikan pelancaran Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) Eco Park@Pantai Dalam malam tadi seperti dipetik Bernama.

Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan satu majlis agama berunsurkan ajaran sesat di sebuah pesantren di negara jiran yang menyanjung Israel, dan didakwa turut disertai ramai rakyat Malaysia sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan warganet.

Fahmi berkata, selain isu ajaran sesat, KKD akan mengambil tindakan terhadap penyebaran maklumat berunsur penipuan dan penggunaan platform itu untuk menjual bahan terlarang termasuk dadah.

Berkaitan