KUCHING: Kerajaan Sarawak bersedia membantu mempromosikan sukan silat secara profesional untuk menjadikannya sebagai salah satu sukan dalam agenda dunia. Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, silat kini bukan lagi sukan kampung namun acara yang menjadi perhatian di peringkat global termasuk Eropah dan Amerika.
Ia sekali gus sebagai usaha mempertahankan budaya tanah air khususnya terhadap warga tempatan Sarawak. “Silat bukan lagi sukan dikenali sebagai sukan orang kampung. Ia bukan sahaja satu sukan di negara Asia Tenggara tetapi adalah acara peringkat antarabangsa termasuk Eropah dan Amerika.
“Sukacita saya katakan Kerajaan Sarawak akan mempromosikan sukan ini secara profesional supaya kita dapat mengangkat silat dalam agenda dunia,” tegasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kejohanan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya malam kelmarin.
Abang Johari turut memuji usaha perguruan silat khasnya di Sarawak yang banyak berkorban untuk meneruskan budaya silat di negeri ini. Beliau mahu pelapis muda sukan silat untuk mempertahankan budaya itu secara profesional dan berlatih bersungguh-sungguh demi memartabatkan sukan silat ke peringkat antarabangsa.
Abang Johari juga mengambil kesempatan mengucapkan selamat datang kepada peserta kejohanan khususnya wakil dari 11 negara yang hadir. “Selamat datang kepada semua peserta silat dari seluruh negara yang hadir ke Sarawak bagi mempersembahkan dan bertanding dalam kejohanan silat ini.
“Sudah pasti akan adanya pemenang dan yang kecundang namun yang lebih penting semangat dan disiplin untuk memajukan budaya sukan silat,” tambah beliau. Kejohanan silat berlangsung selama seminggu bermula 27 Februari dan menampilkan lebih 800 pesilat daripada 22 pasukan mewakili 11 negara dan 11 negeri termasuk pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sebanyak 11 negara mengesahkan penyertaan ialah Malaysia, Singapura, Filipina, Thailand, Brunei Darussalam, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Amerika Syarikat, Belanda dan Indonesia. Manakala 11 negeri ialah Sabah, Melaka, Perlis, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, PDRM, ATM dan Sarawak.