KUCHING: “Insya-Allah, kita akan bangkit pada 2019,” itu janji Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais selepas isu kemeruduman bola sepak Sarawak diperbahas sarawakvoice.com sejak minggu lalu.
Menurutnya, “angin baharu” bakal bertiup ke Bumi Kenyalang, selepas episod terumbang-ambing pada beberapa musim lalu.
“Antara tindakan awal yang kita ambil termasuklah membawa masuk jurulatih pro-A yang berpengalaman dengam corak permainan rantau ini, Ian Andrew Gillan untuk memimpin pasukan senior pada musim ini.
“Bukan itu sahaja, beliau juga akan berperanan sebagai Pengarah Teknikal, yang bertanggungjawab memimpin pasukan pembangunan dan membentuk pasukan pelapis,” tambahnya dalam pertemuan eksklusif dengan portal ini.
Katanya, kemasukan Gillan seolah-olah memberi hala tuju baharu kepada pasukan, dan membuka “sejalur cahaya” di sebalik pelbagai kekangan dan hambatan yang dihadapi.
“Kita kehilangan banyak pemain berbakat pada musim ini, tetapi kita terima hakikat itulah bola sepak. Ia kini bernilai komersial.
“Namun kita tidak mati akal. Kita akan membuka pintu kepada bakat-bakat baharu yang kita miliki.
“Saya percaya, dengan bimbingan dan program baharu, pasukan ini boleh pergi jauh, termasuk kembali ke Liga Super pada musim depan, dan layak ke peringkat yang lebih tinggi.
Posa yang juga pengurus pasukan senior Sarawak memberitahu, biarpun menjanjikan seratus-peratus anak tempatan pada musim lalu, perancangan tersebut terpaksa ditukar pada saat akhir.
“Kita tidak ada pilihan, kerana di sebalik berhijrahnya beberapa pemain yang diharap menjadi tulang belakang, yang berbaki adalah pemain yang terlalu muda dan berumur.
“Kita faham akan situasi yang dialami oleh Ketua Jurulatih (Gillan) yang terhimpit pilihan, selain dikekang bajet yang kecil.
“Justeru kita setuju, pintu kepada pemain luar Sarawak dibuka semula.
“Kita berharapkan, pemain-pemain yang bakal dipilih ini dapat mencurahkan pengalaman, dan membimbing pemain-pemain muda yang kita tampilkan.
Mereka juga katanya, diharap dapat membantu strategi Gillan untuk lebih berktrampilan pada musim ini, jelasnya.
Ketika ini kata Posa lagi, sekurang-kurangnya dua pemain asal Semenanjung telah diikat, manakala beberapa pemain lain masih dalam perhatian.
“Beberapa pemain asing juga diramal mengisi kuota import, termasuk Muammer Salibasic, yang kini sedang dalam ujian pemilihan.
“Kita begitu berhati-hati kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali, tersilap memilih pemain import,” tambahnya.
Sarawak menyasarkan lima kedudukan teratas Liga Perdana musim ini, dengan bajet sekitar RM15 juta. — Sarawakvoice