SERIAN: Seorang anggota tentera yang sedang bercuti sambutan gawai, maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum terjatuh dan dirempuh sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.
Menurut Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Deputi Superintendan Bingkok John, insiden berlaku sekitar jam 8.30 pagi tadi di Kilometer 7, Jalan Serian-Tebedu.
“Difahamkan mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 datang dari arah Tebedu manakala lori jenis Isuzu tersebut datang dari laluan Serian.
“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala sebelum menghembuskan nafas terakhir di lokasi.
Kata Bingkok, pasukan paramedik yang tiba kemudian mengesahkan kematian mangsa.
Pemeriksaan lanjut kemudian mengenal pasti identiti mangsa sebagai Dicky Glen Tony, 22 tahun dari Kampung Mawang Tahup, dekat sini.
Mangsa merupakan anggota tentera yang bertugas di Kompeni Perubatan Para, Kem Terendak, Melaka.
“Punca kejadian masih dalam siasatan, dan berlaku keadaan cuaca baik.
Mayat mangsa katanya, telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Serian untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1997. – Sarawakvoice