Anak muda teruja mengundi

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
DR. LEE KUOK TIUNG

KUCHING: Pengundi tetap perlu menjalankan tanggungjawab meskipun keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Sarawak dijangka memihak kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr. Lee Kuok Tiung berkata, pengundi tidak boleh terlalu yakin dengan perkara tersebut sehingga enggan keluar mengundi.

“Kerana apa yang diperhatikan, rata-rata penyokong GPS berpendapat parti tersebut tidak memerlukan undi mereka kerana yakin dapat meraih kemenangan besar,” katanya kepada Suara Sarawak.

Beliau juga berkata demikian ketika diminta untuk memberikan pandangan mengenai jangkaan keputusan PRU-15 dan peratusan keluar mengundi, semalam.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan ramai anak muda yang belajar atau bekerja di Sabah, Semenanjung Malaysia juga bertekad untuk balik mengundi dan ini sangat menarik.

Menurutnya, bagaimanapun peratusan keluar mengundi dijangka rendah meskipun terdapat peningkatan jumlah pengundi susulan pelaksanaan pendaftaran secara automatik dan Undi18.

“Perkara ini juga menjadikan golongan yang selama ini kurang berminat mengambil bahagian dalam proses pilihan raya telah menjadi pengundi,” ujarnya.

Seramai 1,943,074 pemilih yang berdaftar di Sarawak akan mengambil bahagian di dalam PRU-15 hari ini.

PRU-14 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah) berjaya meraih kemenangan di 113 kerusi Parlimen.

PH juga mencatat kemenangan bersejarah, apabila melepasi jumlah 112 kerusi yang diperlukan untuk membentuk sebuah kerajaan baharu di Malaysia ketika itu.

Berkaitan