KOTA SAMARAHAN: Sarawak menduduki tempat keempat tertinggi di Malaysia dalam prevalens isu kesihatan mental, kata Datuk Seri Fatimah Abdullah.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) itu berkata, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2015 merekodkan prevalens isu kesihatan mental di negeri ini adalah 35.8 peratus.
“Prevalens lebih tinggi adalah di luar bandar dan dalam kalangan penduduk bumiputera. “Masalah yang lazim adalah kemurungan yang mana 35 peratus adalah dalam kalangan remaja 16 tahun ke atas dan 16 peratus di bawah umur 15 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis perasmian penutupan Simposium Kebangsaan Kesejahteraan Psikologi (SKeP2022) di Arena Gemilang, DeTAR Putra Unimas, di sini semalam.
Tambahnya, semasa Covid-19 melanda dunia permintaan untuk perkhidmatan kaunseling dan psikologi serta sokongan adalah lebih tinggi di Sarawak. “Justeru, isu kesihatan mental ini harus diambil serius dan ditangani dengan bijak.
“Proses pemulihan psikologi dan emosi disebabkan isu kesihatan mental ini memerlukan ruang, masa serta tenaga profesional yang boleh membantu mereka menangani isu yang dialami secara efisien,” ujarnya.
Dalam hal berkaitan, Fatimah berkata, disebabkan itu terdapat keperluan untuk menyediakan lebih ramai ahli psikologi daripada pelbagai cabang dan kepakaran. “Sarawak memang ketandusan pakar psikologi.
Jadi, kami ingin menggalakkan rakyat Sarawak mengambil psikologi sebagai kerjaya. “Di Sarawak, kementerian bekerjasama dengan rakan strategik yang berkaitan dalam integrasi termasuk ahli psikologi, kaunselor, pakar psikiatri dan kaunselor para untuk menyediakan sokongan dan perkhidmatan sosial kepada mereka yang terjejas,” jelasnya.
Dalam hal berkaitan, Sarawak adalah negeri pertama di Malaysia yang membangunkan Indeks Kesejahteraan Sosial sendiri selain kajian indeks yang dijalankan di peringkat kebangsaan.
“Ke arah negara menua 2030 tahap kesejahteraan sosial di Sarawak melibatkan kumpulan umur 55 hingga 65 tahun mencatat skor tertinggi iaitu 6.43 berbanding kumpulan umur yang lain.
“Berdasarkan etnik pula, kaum Melanau mencatatkan nilai skor 6.78 tertinggi berbanding etnik lain.” tegasnya.