KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini tidak dapat menahan linangan air mata ketika menyaksikan persembahan pantomin yang mengimbau kenangan tragedi berdarah pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah, 10 tahun lepas.
Anwar dilihat beberapa kali mengelap air mata sepanjang 30 minit pantomin itu yang dipersembahkan di Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-216 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Kuala Lumpur.
Pantomin itu dipersembahkan oleh 86 pegawai dan anggota polis dari 69 Komando (VAT 69), Pasukan Gerakan Udara, Pasukan Gerakan Am dan Muzium PDRM.
Ia dikoreografikan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali.
Beberapa waris keluarga pegawai dan anggota polis yang terkorban dalam tragedi berkenaan iaitu ASP Zulkifli Mamat dan Sjn Sabaruddin Daud, turut mengambil bahagian dalam persembahan pantomin insiden berdarah itu. – BERNAMA