SIBU: Seorang ahli perniagaan berusia 50 tahun mengalami kerugian RM324,201 setelah menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan saham dalam talian.
Menurut Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial menerima satu laporan polis oleh mangsa pada Rabu.
Jelasnya, segalanya bermula setelah mangsa melihat iklan di Facebook pada 20 Mac lalu yang menawarkan pulangan keuntungan sehingga 50 peratus daripada pasaran saham.
“Teruja dengan itu, mangsa kemudiannya menghantar pesanan melalui WhatsApp ke nombor yang tertera di iklan tersebut dan diarahkan untuk memuat turun aplikasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, dari tempoh 18 April hingga 12 Mei, mangsa memindahkan sejumlah RM324,201 menerusi 11 transaksi ke tiga nombor akaun berbeza.