Ada bakat besar di Sarawak – Bandi Amuk

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KOTA SAMARAHAN: Sarawak mempunyai bakat besar untuk terus maju dalam industri muzik di Malaysia. Penyanyi rock tanah air Bandi Amuk berkata, dalam industri muzik sebenarnya tiada sempadan untuk Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.

“Siapa yang mempunyai bakat dan minat boleh menggunakan saluran sosial media seperti YouTube, Instagram, TikTok dan sebagainya untuk menyerlahkan potensi diri.

“Berbeza dengan dahulu, kami perlu pergi ke majalah, akhbar seperti Utusan Malaysia dan lain-lain untuk tujuan promosi.

“Jadi jangan kata ada sempadan, orang Sarawak juga sememangnya berkebolehan dan berbakat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat persembahan sempena Acoustic Battle 2022 di The Summer Shopping Small dekat sini.

Menjelas lanjut, tambah Bandi selepas menonton persembahan 10 peserta yang menyertai pertandingan akustik itu beliau mengakui bahawa bakat Sarawak mempunyai potensi untuk pergi jauh.

Menurutnya, peserta yang terlibat bukan sahaja boleh menyanyi bahkan boleh memainkan alat muzik seperti seruling dengan baik.

“Justeru, saya memang berharap dan mengesyorkan agar orang di luar sana memberikan galakan dan peluang kepada bakat Sarawak ini termasuk membantu mereka mengeluarkan satu atau dua single.

“Justeru teruslah memberikan sokongan kepada muzik tempatan terutama di Sarawak kerana saya memang melihat banyak bakat termasuk di Sabah,” ujarnya

Untuk rekod, Bandi yang hadir pada program tersebut turut membuat persembahan dan mendendangkan beberapa buah lagu untuk menghiburkan tetamu dan peminatnya yang datang ke acara berkenaan.

Berkaitan