Abang Johari terima jemputan Perhimpunan Agung UMNO

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

KUCHING: Buat pertama kali dalam sejarah, kesemua pengerusi dan presiden parti politik gabungan Kerajaan Perpaduan dijemput menghadiri Perhimpunan Agung UMNO pada 9 Jun ini. 

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga bakal hadir, bagi memenuhi jemputan untuk menghadiri perhimpunan yang dijadual berlangsung pada 7 hingga 10 Jun ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga sudah mengesahkan kehadiran bagi memenuhi undangan untuk hadir ke perhimpunan tersebut. 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mengesahkan kepada saya ketika kunjungan hormat ke atas beliau pagi tadi. Beliau akan datang ke Dewan Merdeka sempena Perhimpunan Agung UMNO pada 9 Jun ini. 

“Ini merupakan manifestasi yang cukup bermakna kepada saya kerana Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) juga hadir,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kapit, Sabtu.. 

Terdahulu pada Jumaat, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberitahu Perdana Menteri dan kesemua pengerusi serta presiden parti politik gabungan Kerajaan Perpaduan dijemput untuk menghadiri perhimpunan tersebut. 

Selain presiden parti, jemputan juga dibuat kepada semua pemimpin sayap parti yang mendukung kerajaan campuran. 

Namun, kehadiran mereka hanya untuk menghadiri perhimpunan berkenaan sebagai tetamu kehormat dan pemerhati, mereka tidak akan memberikan ucapan. 

Ahmad Zahid juga memberitahu bahawa Presiden Parti Warisan (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga akan menghadiri perhimpunan tersebut. 

“Saya berharap agar Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor juga akan dapat datang ke perhimpunan itu kelak. 

“Di samping itu, presiden parti politik yang menganggotai Kerajaan Perpaduan juga akan hadir ke perhimpunan agong itu kelak,” ujarnya. 

Menurutnya, ia merupakan petanda yang cukup baik dan penghargaan kepada UMNO dalam usaha memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Kita juga sedang mengatur kerajaan ini lebih berstruktur untuk kerjasama yang lebih erat memandangkan negara bakal menghadapi enam pilihan raya negeri tidak lama lagi. 

“Tarikhnya akan diumumkan pada bila-bila masa pada akhir bulan ini dan diharap kemenangan akan berpihak kepada parti-parti komponen yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, katanya sesiapa sahaja sama ada bukan perwakilan dan bekas ahli UMNO juga boleh menghadiri perhimpunan tersebut, tetapi hanya sebagai pemerhati di luar dewan dan bukan sebagai perwakilan. 

“Kepada sesiapa sahaja yang rindu hendak datang, silalah datang.

Parti-parti lain juga boleh datang dan kita harapkan perhimpunan ini menjadi satu titik permulaan untuk menyelesaikan masalah dan isu yang dihadapi ketika ini,” tegasnya. 

Antara agenda yang akan dibincangkan perwakilan pada perhimpunan itu kelak termasuk soal ekonomi rakyat, kestabilan politik dan kerajaan, Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, agama Islam, Melayu dan bumiputera. 

Kerajaan Perpaduan dibentuk oleh gabungan 19 parti politik.

Berkaitan