KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini mengadakan lawatan kerja ke Sungai Asap di Belaga sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk mencari penyelesaian kepada isu-isu pembangunan yang menjejaskan rakyat di kawasan tersebut dan seluruh negeri.
Di sana, beliau diberi taklimat oleh pegawai-pegawai Jabatan Tanah dan Survei, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar dan Jabatan Kerja Raya dalam usaha menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi berkaitan tanah, bekalan air dan jalan raya di kawasan Sungai Asap.
Selepas sesi taklimat, Ketua Menteri berkesempatan melawat loji rawatan air yang baharu bernilai RM65 juta di Sungai Koyan, Asap.
Semasa lawatan, beliau turut meluluskan peruntukan berjumlah RM43.3 juta untuk pelbagai projek di kawasan tersebut.
Antaranya, RM14 juta untuk memperbaiki kualiti air terawat di Sungai Asap, Belaga; tambahan RM1 juta untuk sistem perpaipan dari meter ke rumah; RM 9 juta untuk fasa pertama jalan ladang; dan RM 2 juta untuk pembaikan jalan di kawasan Penan Lusong Laku.
Beliau turut memperuntuk RM7.3 juta untuk menurap semula jalan raya Belaga dan Asap; RM10 juta untuk pembinaan gereja BEM dan Pusat Teologi di Sg Asap.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Menteri Utiliti, Dato Seri Dr. Stephen Rundi Utom. –Sarawakvoice