84,288 hektar berjaya diukur

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Sebanyak 68,723 lot individu berjaya diukur melibatkan kawasan seluas 84,288 hektar atau 208,275 ekar di Sarawak, setakat 30 April 2023. 

Menurut Timbalan Premier merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, kawasan lot individu yang diukur tersebut dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.

“Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat serta pengukuran dan pengeluaran surat hakmilik tanah NCR dilaksanakan sejak 1960-an melalui Operasi Penyelesaian selaras Bahagian V Kanun Tanah Sarawak Bab 82.

“Bagi memastikan pengukuran tanah NCR dilaksanakan secara lebih efisien dan efektif, Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu dilaksanakan bermula 2010,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementeriannya, pada persidangan DUN Sarawak, semalam.

ADUN Bukit Sari itu juga berkata, hingga 30 April 2023, seluas 1,091,547 hektar atau 2,697,213 ekar telah berjaya diukur secara perimeterdi negeri ini.

“Seluas 842,465 hektar atau 2,081,731 ekar daripadanya diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.

“Sejak 2017, fokus pengukuran juga ditumpukan kepada pengukuran lot individu di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.

“Kawasan tersebut telah diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak berdasarkan permohonan dan kesediaan penuntut tanah tersebut,” ujarnya.

Menurutnya, bagi mempercepat pengukuran lot individu tanah NCR, penuntut tanah harus hadir semasa pengukuran di lapangan dan menandakan sempadan tanah dengan jelas bagi mengelakkan pertikaian dalam membuat tuntutan di samping melancarkan kerja pengukuran.

Sementara itu, Tengah mendedahkan sebanyak 62 projek Program Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) telah diluluskan di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-21 serta Projek Rakyat setakat 30 April 2023.

“Sebanyak 6,190 lot kediaman dengan kos pelaksanaan dianggarkan berjumlah RM985 juta telah diluluskan.

“Daripada 62 projek tersebut, 12 projek telah siap sepenuhnya mengikut skop pembangunan dan baki 50 projek akan diteruskan sehingga penghujung Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata projek-projek SPS dan SPK menggunakan spesifikasi infrastruktur yang telah ditambah baik seperti jalan raya yang berturap, parit konkrit, lot yang ditembok dan sistem retikulasi bekalan air serta bekalan elektrik.

“Kerajaan Sarawak juga menetapkan bayaran premium tanah tidak melebihi RM2,500 bagi setiap lot kediaman di SPS dan SPK walaupun kos penyediaan setiap lot tersebut dalam lingkungan RM 120,000 hingga RM 150,009,” ujarnya. 

Berkaitan