SEPANG: Situasi kemanusiaan sangat genting di wilayah Aleppo melibatkan 80,000 pelarian yang memerlukan bantuan makanan serta perubatan segera.
Pengarah Strategik Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Sani Arabi Abd Halim menyeru sumbangan segera dihulurkan untuk mangsa konflik di wilayah terbabit.
Setakat ini dalam tempoh lima hari, menurut Sani, tabung derma Rescue Syria yang dilancarkan di media sosial berjaya mengutip RM500,000.
Memandangkan sasaran untuk mengumpul RM2 juta belum tercapai, Sani merayu warga Malaysia yang perihatin terus menyumbang kepada Rescue Syria melalui akaun Maybank 5628 3463 6987 atas nama Syria Emergency Appeal Dana Mapim.
Memetik Bernama, Sani memberitahu media, beliau bersama kumpulan pertama berangkat ke Syria untuk tempoh 10 hari memantau Aleppo yang kini genting.
Kerajaan Syiah Basar al-Assad dengan bantuan sekutunya komunis Rusia sedang mengganyang warga Aleppo.
Beliau memberitahu, rombongan kedua terdiri daripada 10 ahli Mapim berlepas 15 Januari 2017.
Sani membawa sumbangan makanan dan membeli sebahagiannya daripada petani di kawasan Syria yang tidak terjejas.
Bantuan perubatan turut dikumpul dari Turki termasuk rancangan mendirikan 1,000 khemah untuk pelarian.
Mereka turut menghantar 3,000 selimut dan baju sejuk kanak-kanak menjelang musim dingin yang melanda wilayah terlibat krisis.
Ini merupakan misi ketujuh Mapim di Syria semenjak konflik tercetus. – Sarawakvoice