8 dalil BN menang PRU14 Rabu depan menurut Reuters

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

REUTERS sebelum pertengahan April lepas pernah meramalkan Barisan Nasional (BN) di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan kembali berkuasa apabila berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang hari pengundiannya berlangsung 9 Mei, Rabu minggu hadapan.

Berikut ialah 8 dalil bagaimana BN menang:

1.Tidak perlu bergantung pada undi popular 

BN pada PRU13 berlangsung 2013 tidak memenangi undi popular hanya mendapat 47.3 peratus undi – tetapi berdasarkan sistem Parlimen “first-past-the-post” dan melalui sempadan kawasan pilihan raya ditentukan, BN masih memenangi bilangan majoriti kerusi Parlimen.

2.Perubahan sempadan kawasan pilihan raya 

Parlimen bersetuju meluluskan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akhir Mac lepas. Persempadanan semula itu dikatakan memperkuat sistem sedia ada yang memberi kelebihan kepada BN khususnya mendapat sokongan daripada rakyat dari kawasan luar bandar.

Sebanyak 30 peratus jumlah pengundi luar bandar dikatakan menguasai lebih separuh daripada jumlah keseluruhan kerusi Parlimen.

3.Pembangkang ragu terhadap Mahathir 

Pembangkang bersusah payah mahu memperlihatkan perpaduan. Manakala Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan) Tun Dr Mahathir Mohamad, 93, yang juga mantan perdana menteri selain berjaya menyatukan Harapan, ramai pula kalangan pembangkang meragui Mahathir kerana tindakan beliau ke atas institusi bebas negara pada era pemerintahan 22 tahun beliau sekitar 1981-2003.

4.Faktor pertandingan tiga penjuru, Pas dilihat sebagai pemecah undi

Pas yang sebelum ini merupakan komponen pembangkang dalam Pakatan Rakyat (PR), kini bersendirian bertanding PRU14 menyebabkan berlaku pertandingan tiga penjuru di banyak tempat.Ini memberi peluang kepada BN menang di banyak kerusi kerana undi pembangkang dilihat berpecah kepada Harapan dan Pas.

5.Undang-undang anti-berita palsu

Kelulusan undang-undang antiberita palsu yang diluluskan kerajaan dilihat dapat digunakan ke atas pembangkang semasa tempoh berkempen serta mengelak kelantangan kempen memburukkan kerajaan.Hukuman maksimum bagi sabitan di bawah undang-undang dikenakan denda RM500,000 atau penjara 6 tahun atau kedua-duanya sekali.

6.Ekonomi Malaysia baik

Ekonomi Malaysia dilaporkan berada dalam keadaan pertumbuhan berterusan. Bank Negara Malaysia mengeluarkan laporan menjangkakan ekonomi berkembang 5.5 hingga 6 peratus pada 2018 berbanding ramalan awal 5 hingga 5.5 peratus pada belanjawan yang dibentangkan Oktober 2017.

Malaysia kini menikmati pertumbuhan eksport, sementara perbelanjaan awam dan prasarana memberi kesan tambahan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang mencecah 5.9 peratus pada 2017, terbaik dalam tempoh tiga tahun.

7.Politik naungan dan wang 

Umno melaksanakan dasar afirmatif bagi orang Melayu yang memberi mereka peluang mendapat kontrak kerajaan, rumah lebih murah, jaminan kemasukan ke universiti dan kemudahan pembelian saham.

Najib menjanjikan kenaikan gaji kepada kakitangan awam yang merupakan asas penting bagi sokongan terhadap beliau.

8.Janji pilihan raya 

Parti pemerintah menawarkan pelbagai janji bagi menarik sokongan pengundi tradisinya, termasuk meningkatkan gaji minimum dan tambahan bantuan tunai kepada pengundi Melayu luar bandar.

Najib juga menjanjikan penghapusan hutang peneroka Felda dan penciptaan tiga juta pekerjaan baru. –Sarawakvoice

Berkaitan