72 peratus pemegang ASB simpan kurang RM5,000

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

SHAH ALAM:   Sebanyak 72.1 peratus daripada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) mempunyai kurang  daripada RM5,000 dalam akaun  atau  hanya 2.4 peratus daripada jumlah keseluruhan bilangan unit yang dilanggan, kata Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata,  9.3 peratus daripada akaun pemegang unit ASB  pula mempunyai pelaburan lebih daripada RM50,000 dan ke atas, iaitu memiliki 78.7 peratus daripada bilangan unit yang dilanggan.

tan-sri-abdul-wahid-omar

“PNB telah pun melancarkan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) pada 2 April 2014 dengan saiz dana sebanyak 10 bilion unit. Hingga kini, jumlah langganan ASB2 telah mencecah hampir 3 bilion unit,” katanya pada Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa 2016.

Beliau  turut mengulas pembabitan masyarakat Bumiputera dalam aktiviti ekonomi dan keusahawanan yang masih rendah dan majoritinya hanya berada pada tahap usahawan kecil dan mikro.

Mengikut rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 2014 hanya 27.6 peratus atau 283,200 dari keseluruhan jumlah 1,026,100 ialah syarikat Bumiputera.

Katanya, walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada 1971 sudah berakhir dan menunjukkan hasil dalam membasmi kemiskinan, menyusun semula masyarakat dan memperbaiki ketidakseimbangan sosio-ekonomi, namun jurang ketaksamaan pendapatan antara kaum masih berlaku.

Beliau menggariskan empat cabaran untuk membangunkan ekonomi orang Melayu iaitu mengatasi jurang ketaksamaan pendapatan, tahap kemahiran dan pendidikan yang rendah, pemilikan ekuiti syarikat korporat serta penyertaan dalam aktiviti ekonomi dan keusahawanan.

“Pada tahun 2014, purata pendapatan bulanan kaum Bumiputera lebih rendah berbanding kaum Cina pada nisbah 1 kepada 1.38 kali ganda. Selain itu, statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati pendapatan purata isi rumah Bumiputera pada tahun 2014 lebih rendah pada 8.1 peratus dari paras nasional iaitu, 9.7 peratus,” katanya.

“Pendapatan purata Bumiputera bagaimanapun meningkat pada kadar 8.9 peratus iaitu lebih tinggi daripada kadar nasional sebanyak 8.8 peratus. Seterusnya, jurang pendapatan antara masyarakat Melayu juga semakin besar,” jelasnya

Begitu juga dengan tahap kemahiran dan pendidikan yang rendah dalam kalangan tenaga kerja Bumiputera yang mengehadkan kemungkinan untuk mendapat pekerjaan dengan bayaran tinggi dalam pasaran buruh. – Sarawakvoice

Berkaitan