565 balak haram dirampas di Sungai Setalun, Belawai

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

SARIKEI: Pasukan penguat kuasa Sarawak Forestry Corporation (SFC) berjaya menemui dan merampas sebanyak 565 balak haram di Sungai Setalun, Belawai dalam satu operasi khas pada minggu lalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, SFC memaklumkan bahawa penemuan dilakukan oleh sepasukan penguat kuasa SFC Wilayah Sibu, yang melakukan rondaan di kawasan tersebut pada Khamis.

“Kita percaya balak terbabit telah diambil secara haram dari hutan berhampiran dengan menggunakan jentera jengkaut oleh individu yang tidak dikenali.

“Malah balak-balak ini dikumpulkan di tebing berkenaan, sebelum dipindahkan ke lokasi lain,” tambahnya.

Siasatan awal kata SFC lagi, mendapati tiada satu pun daripada kayu yang ditahan itu mempunyai tanda rasmi pelesenan, malah tiada siapa yang ditemui di sekitar kawasan tersebut, ketika serbuan dilakukan.

Satu laporan polis kemudian dibuat oleh pasukan terbabit di Balai Polis Sarikei.

Balak-balak tersebut kemudian diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk siasatan dan tindakan lanjut. –Sarawakvoice

Berkaitan