45,000 kerja kosong bergaji besar

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Inisiatif Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak akan menyumbang sekitar 20 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri ini, yang berjumlah RM56.4 bilion pada 2030.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia sekali gus bakal mewujudkan lebih 45,000 pekerjaan baharu bergaji besar dengan 80 peratus Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menggunakan inisiatif pendigitalan.

Menurutnya, rangka tindakan berpaksikan kepada lima tonggak strategik itu merupakan peta laluan bagi Sarawak untuk mengubah keseluruhan ekonomi dan rakyatnya daripada pendapatan berasaskan sumber konvensional kepada ekonomi dipacu teknologi mampan.

“Pelan tindakan ini akan dilaksanakan dalam tiga fasa dengan fasa pertama bermula 2025 untuk memperkukuhkan serta meningkatkan kesediaan digital.

“Kawal selia yang kondusif, rangka kerja dasar dan kesediaan digital ini penting untuk menyediakan peralihan lancar kepada fasa kedua dan tiga.

“Untuk fasa kedua yang bermula pada 2027, ia fokus untuk mempercepatkan transformasi digital sektor ekonomi keutamaan, meningkatkan perkhidmatan kerajaan dan mengembangkan teknologi tinggi pemula.

“Sementara fasa tiga pada 2030 pula akan menjadikan Sarawak negeri yang dibangunkan secara digital dengan kemudahan tinggi menjalankan perniagaan, kerajaan mewujudkan persekitaran perniagaan kondusif serta peluang sama rata untuk rakyat meningkatkan status ekonomi sosial,” katanya.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, semalam.

Mengulas lanjut katanya, pelan tindakan itu menyasarkan untuk memanfaatkan peratusan ekonomi digital global untuk Sarawak mengembangkan aliran data rentas sempadan dengan mewujudkan pusat data, penyampaian perkhidmatan digital dan pelaburan langsung asing digital.

“Kami akan membina ekosistem untuk menarik industri baharu yang memberi tumpuan kepada pusat data piawaian antarabangsa, digital penciptaan kandungan dan meningkatkan inovasi digital keusahawanan.

“Dalam masa yang sama mengalu-alukan sektor swasta untuk menceburi bidang ekonomi digital yang sedang berkembang ini,” tegasnya.

Tambahnya, di bawah pelan tindakan itu, sektor swasta memainkan peranan dominan melalui teknologi sempadan seperti data raya, Internet Pelbagai Benda (IOT), penyelesaian kecerdasan buatan dan teknologi yang mengasyikkan.

“Justeru, kami akan terus membina infrastruktur digital yang membolehkan untuk meluaskan liputan dan menyediakan ketersambungan, khususnya kepada masyarakat luar bandar untuk inklusif pembangunan.

“Sementara bagi memastikan Sarawak selamat siber, kami akan menubuhkan pasukan keselamatan siber untuk mengoperasikan fokus Rangka Kerja Keselamatan Siber mengenai tadbir urus dan pengurusan yang berkesan, perundangan dan dasar, pematuhan dan penguatkuasaan, penyelidikan, industri inovasi dan teknologi, kapasiti dan pembinaan keupayaan dan kerjasama,” katanya.

Tambahnya, menjelang 2030, tidak akan ada perbezaan antara ekonomi digital dengan ekonomi biasa.

Semua segmen ekonomi iaitu perlombongan, pertanian dan perhutanan, pembuatan, pembinaan, dan perkhidmatan akan dipacu secara digital menggunakan ICT dan digital sempadan teknologi.

Berkaitan