KUCHING: Seramai 35 orang pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching terlibat dalam program ‘Sentuhan Kasih’ di Pertubuhan Ibu Bapa, Kanak-Kanak Keperluan Istimewa Sarawak (PIBAKAT), semalam.
Program julung kali diadakan melibatkan IPD Kuching berjalan lancar dengan kerjasama daripada Persatuan Keluarga Polis (Perkep) dan pihak Pibakat sendiri selaku tuan rumah.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pelancaran program tersebut merupakan lanjutan aktiviti tanggungjawab sosial yang dilaksanakan oleh IPD Kuching tahun lalu bersempena dengan sambutan Hari Polis ke-216.
Menurutnya, objektif penganjuran program selaras dengan namanya iaitu sentuhan kasih bagi memberi peluang kepada warga polis IPD Kuching untuk memberikan sumbangan berbentuk sosial kepada pusat-pusat kebajikan yang memerlukan.
“Program ini merupakan yang kali pertama kita laksanakan bersama Pibakat.
Tahun ini kita memutuskan untuk melaksanakannya di tempat ini daripada beberapa pusat kebajikan dalam senarai kita.
“Jadi ini sebahagian tanggungjawab sosial pegawai dan anggota polis bukan sahaja menguatkuasakan undang-undang membanteras jenayah tapi ini satu cabang untuk kesejahteraan masyarakat,” beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis di pekarangan bilik mesyuarat Pibakat Kuching, semalam.
Jelasnya, program tersebut turut bertujuan memberi kesedaran kepada warga polis bagi memahami keadaan serta menyantuni golongan kelainan upaya (OKU).
“Kami juga sebagai manusia biasa, kita punya perasaan dan kita cuba memahami mereka jadi harap program ini dapat membantu mengindahkan lagi suasana tempat ini,” katanya.
Jelas Ahsmon, aktiviti sosial dijalankan merangkumi aktiviti membersihkan tempat bermula dari pusat mencuci pakaian sehingga ke beberapa kawasan di dalam pusat terbabit.
“Terima kasih kerana melancarkan program ini walaupun sedikit tergendala disebabkan cuaca hujan tapi akhirnya berjaya mencapai matlamat iaitu untuk mengindahkan tempat ini,” tegasya.
Terdahulu, turut hadir majlis Pengarah Pibakat, Zaidi Ahmad.