SARIKEI: Seramai 27 penumpang sebuah bot ekspres terselamat selepas beberapa enjinnya terbakar ketika dalam perjalanan ke Daro di Sungai Singai, Batang Lassa, dekat sini.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, pihaknya menerima maklumat kebakaran sekitar jam 12.56 tengah hari semalam dan Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah di Sibu diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk memberi respons.
“Bagaimanapun kita difahamkan, kebakaran tersebut berjaya dikawal dan dipadam oleh kru bot berkenaan, selain bantuan penduduk rumah panjang di kawasan Sebinjai,” katanya ketika dihubungi sarawakvoice.com.
Kata Ling Hii, bot ekspres Begawan Laju yang dalam perjalanan dari Sibu ke Daro tersebut kini berada di Batang Lassa.
Pengangkutan sungai adalah alternatif termurah dan mudah bagi kawasan pesisir Sarawak, biarpun kebanyakan kawasan kini telah dihubungi laluan darat.
“Pasukan forensik dari Sungai Merah akan berada di lokasi hari ini untuk membuat pengesahan dan siasatan,” katanya lagi. – Sarawakvoice