24 kematian dalam tahanan direkodkan tahun lalu

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUALA LUMPUR: Sebanyak 24 kematian dalam tahanan direkodkan sepanjang tahun 2022.

Angka ini menurut Kementerian Dalam Negeri turun hampir 50% berbanding tempoh yang sama pada 2021 iaitu 46 kes.

Demikian Dewan Rakyat diberitahu.

Menurut KDN dalam jawapan yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, daripada 24 kematian yang dicatatkan pada 2022, 11 daripadanya berlaku di lokap polis.

 Katanya, sebanyak 13 lagi  kematian berlaku semasa tahanan menerima rawatan di hospital atau klinik atau dalam perjalanan ke hospital atau klinik.

Bagi tempoh 2021,  katanya, sebanyak 14  kematian berlaku di dalam lokap, manakala 32 lagi semasa tahanan dalam perjalanan ke hospital atau klinik atau semasa menerima rawatan di hospital atau klinik.

Bagi membendung isu itu, Kementerian Dalam Negeri berkata, polis sedang menyediakan pindaan menyeluruh terhadap Kaedah-Kaedah Lokap 1953 bagi memastikan pengurusan lokap, tahanan dan hak asasi tahanan ditambah baik selari keperluan serta kehendak semasa.

“(Selain itu) menyediakan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan tahanan di lokap serta pemeriksaan berkala oleh pihak berwajib untuk memastikan pematuhan arahan atau SOP pengurusan lokap dan tahanan diikuti,” katanya seperti dipetik Bernama.

Berkaitan