RM80,000 hilang

0
18
Foto fail

SIBU: Sambutan meriah Tahun Baharu Cina bertukar menjadi suram bagi seorang wanita apabila mengalami kerugian RM80,000 angkara terperdaya penipuan Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, kejadian berlaku pada 24 November tahun lalu apabila mangsa dihubungi seorang lelaki yang tidak dikenali mendakwanya terlibat dengan kes jenayah.

Beliau memberitahu, mangsa berusia 49 tahun merupakan seorang suri rumah diarahkan oleh suspek untuk membuka akaun bank baharu di Bank Islam bagi membolehkan kesnya disiasat.

“Mangsa mematuhi arahan yang diberikan dan memasukkan RM80,000 ke dalam akaun bank baharunya itu tanpa berfikir panjang dan berbincang dengan ahli keluarganya.

“Suspek juga berjanji kepada mangsa wang itu akan dikembalikan kepadanya selepas selesai siasatan,” jelas beliau di sini kelmarin.

Menurut Zulkipli lagi, mangsa percaya siasatan kesnya akan dilakukan serta dijanjkan wang miliknya akan dikembalikan.

Bagaimanapun, katanya, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal mendapatkan semula wangnya seperti yang dijanjikan.

“Akhirnya, pengadu memaklumkan kepada suaminya dan kemudian tampil membuat laporan polis pada sambutan hari pertama Tahun Baharu Cina, Ahad lalu lebih sekitar 5 petang,” ujar beliau.

Zulkipli mendedahkan wang digunakan mangsa adalah simpanannya dan hasil pemberian suaminya. Tegasnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.

Sementara itu, Zulkipli menasihati orang ramai supaya jangan mudah terpedaya sebarang panggilan daripada mana-mana jabatan penguatkuasa dan panggilan yang tidak dikenali tanpa membuat sebarang semakan agar tidak menjadi mangsa.

Orang ramai boleh membuat semakan dengan Balai Polis terdekat atau membuat semakan di http://semakmuke. rmp.gov.my. CCID Infoline di talian 013-2111222, CCID Response Centre di talian 03- 26101559/03-26101599, Facebok CyberCrimeAlertRMP dan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.