RM200 juta untuk projek pendalaman Batang Baram

0
19
Gambar: JaPen

MIRI: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan peruntukan lebih RM200 juta untuk projek pendalaman saluran akses delta Batang Baram.

“Saya telah mengadakan pertemuan dengan Lembaga Pelabuhan Miri dan kita akan memperuntukkan lebih RM200 juta untuk saluran akses di Baram,” kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Apabila siap nanti, ini akan memberi manfaat kepada penduduk di Miri kerana ia meningkatkan kadar aliran air ke laut dan mampu mengurangkan kekerapan banjir di Baram,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2023 anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini pada Rabu malam seperti dilapor TVS.

Menurutnya, projek mendalamkan akses berkenaan sememangnya telah lama dinantikan oleh penduduk di Miri.

Jelas beliau  lagi, kedudukan kewangan Sarawak yang kukuh telah menjadi pemangkin dalam melaksanakan pelbagai projek untuk kepentingan rakyat meskipun memerlukan kos yang besar.

Sementara itu, Abang Johari turut memaklumkan usaha mentransformasikan bandar raya Miri sebagai bandar pintar sedang giat dilaksanakan.

Antara inisiatif itu ialah menyediakan perkhidmatan digital kepada penduduk Miri serta pelancong.