Prasarana Sarawak tumpuan Bajet 2023

0
35
PENTING... Anwar ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis kenduri rakyat di Galeri Pejuang, Cherok Tok Kun di Pulau Pinang, semalam.

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan Persekutuan akan memberikan lebih tumpuan terhadap pembangunan prasarana kecil di Sabah dan Sarawak dalam pembentangan Bajet 2023, bulan depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merangkumi pembinaan prasarana kecil seperti klinik, hospital, perumahan rakyat dan sekolah daif.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak sering dipinggirkan untuk mendapatkan peruntukan sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan dalam pembentangan bajet sebelum ini.

“Memang ada kebenarannya bahawa Pulau Pinang dipinggirkan dari segi peruntukan. Perkara yang sama berlaku apabila saya pergi ke Sabah dan Sarawak, memang ada kekurangan besar.

“Justeru, peruntukan untuk Pulau Pinang pada Bajet 2023 kali ini akan lebih banyak kepada infrastruktur besar. “Manakala Sabah dan Sarawak lebih kepada prasarana kecil seperti klinik, hospital, perumahan rakyat dan sekolah daif yang harus kita beri tumpuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis kenduri rakyat di Galeri Pejuang, Cherok Tok Kun di Pulau Pinang.

Beliau berkata, keluhan pimpinan kerajaan negeri berhubung perkara itu akan diberi perhatian walaupun terdapat kekangan dari segi pendapatan dan perbelanjaan “Sehubungan itu, untuk Bajet 2023, kerajaan akan mempertimbang memberi bajet yang lebih tinggi.

“Ini menjadi pertimbangan saya walaupun ada kekangan dari segi pendapatan dan perbelanjaan negara, tetapi kita akan memberi perhatian jika memang benar diperlukan,” tegasnya.

Anwar sebelum ini berkata, Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula 24 Februari depan tidak akan terikat dengan belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan terdahulu iaitu pada Oktober 2022.

Bagaimanapun katanya, cadangan yang sudah dibuat dalam pelan belanjawan terdahulu akan tetap diambil kira dalam perangkaan Bajet 2023 yang baharu ini.

Untuk info, ketika lawatan rasminya ke Sarawak pada 20 Januari lalu, selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Dewan Undangan Negeri di Kuching, Anwar mengumumkan Kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan kadar pemberian khas kepada Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan daripada RM16 juta kepada RM300 juta setahun.

Katanya, semangat pemberian khas itu melihat kepada kedudukan Sabah dan Sarawak yang mundur ketika pembentukan Malaysia, 60 tahun lalu.

“Sebagai Menteri Kewangan saya sedar tentunya jumlah itu tidak munasabah dan pada peringkat awal ini kita naikkan RM300 juta sebagai satu sumbangan tetapi tertakluk kepada formula, tidak terikat pada RM300 juta itu sahaja kerana kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan,” katanya.