Naik taraf sistem perparitan tujuh lokasi

0
16
PELAN PEMBANGUNAN... Law dan Tan Kai (kiri) menunjukkan pelan projek perparitan bagi Taman Desa Wira, Kuching

KUCHING: Tujuh kawasan di Batu Kawah yang sering dilanda banjir teruk akan diberi tumpuan apabila kerajaan kini merancang untuk melaksanakan projek naik taraf perparitan di situ

Timbalan Pengarah Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak, Ir. Law Wee berkata ia melibatkan Lorong 1C dan Lorong 3 di Metro Park, Sungai Moyan, Sungai Surih, Jalan Field Force, Jalan Ketitir, jalan utama RPR Batu Kawah dan Kampung Sinar Budi Lama.

“Tiga daripada projek ini sudah dalam pelaksanaan iaitu di Kampung Sinar Budi Lama, Sungai Surih dan Jalan Field Force.

“Manakala empat lagi masih dalam peringkat rekaan dan kita menjangkakan bagi projek di Jalan Ketitir, ia mungkin akan ditender dalam masa tiga bulan akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual di pejabatnya dengan turut dihadiri Setiausaha Politik Premier Sarawak Tan Kai. Menjelas lanjut, Law berkata kesemua projek itu dianggarkan menelan kos kira-kira RM90 juta dan dijangka siap dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

“Kalau semua projek ini sudah dilaksanakan, saya rasa semua kawasan tersebut boleh diselamatkan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata tujuh projek berkenaan masih tidak dapat menangani sepenuhnya masalah banjir di Batu Kawah tetapi ia diyakini menyelesaikan 80 hingga 90 peratus masalah itu.

Sementara mengenai masalah banjir teruk yang melanda Lorong 5I dan 5J di Taman Desa Wira, Law berkata pihaknya merancang membina benteng, dilengkapi dengan kolam dan pam penyedut air untuk mengatasinya.

Menurutnya, perancangan awal dengan pembinaan perparitan dan ia juga sudah diluluskan dengan peruntukan RM20 juta.

Namun, beliau berkata pihaknya membatalkan perancangan itu kerana kaedah berkenaan didapati tidak berkesan disebabkan kedua-dua lorong itu terletak di tepi sungai dan dalam kawasan yang rendah.

“Jadi kami mahu menukar rekaan dengan pembinaan benteng untuk menghalang air sungai masuk ke perumahan, kemudian tukar aliran parit ke arah yang lain dan masuk ke kolam, dari kolam kita pakai pam untuk keluarkan air,” katanya.