Hujan lebat peringkat buruk

0
18
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia)

KUCHING: Beberapa bahagian di Sarawak dijangka mengalami hujan lebat berterusan peringkat buruk dengan jumlah hujan melebihi 60 mm dalam tempoh enam jam sehingga hari ini, 25 Januari.

Pengarah Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, amaran hujan peringkat jingga itu melibatkan Bahagian Kuching, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei (Sarikei dan Meradong), Mukah dan Bintulu.

“Sementara amaran hujan berterusan (waspada) peringkat kuning dijangka berlaku di Sri Aman, Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu, Bintulu (Tatau dan Sebauh) dan Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) untuk tempoh yang sama,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, katanya berdasarkan analisis model cuaca, luruan monsun yang berlaku di rantau negara dijangka sehingga 30 Januari 2023. “Keadaan ini berpotensi menghasilkan hujan berterusan di timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam tempoh tersebut.

“Ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang juga dijangka berlaku di pedalaman dan barat Semenanjung, tengah Sarawak serta pedalaman Sabah pada sebelah petang dan malam sepanjang tempoh tersebut.

“Dalam masa sama, hujan berterusan ini dijangka merebak ke negeri pantai barat Semenanjung,” jelasnya. Beliau turut memberi amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga 29 Januari ini.

“Angin kencang timur laut me-lebih 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi melebihi 4.5 meter dijangka di kawasan perairan Condore, utara Bunguran, barat laut Reef North.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai, menangkap ikan, perkhidmatan feri, kapal termasuk pekerja di pelantar minyak,” tegasnya.

Tambahnya, keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. Orang awam juga dinasihati untuk sentiasa merujuk laman sesawang MetMalaysia dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.