Bukti komitmen Anwar

0
17
ABUN SUI ANYIT

KUCHING: Pemberian RM1 bilion kepada pembinaan infrastruktur asas di sempadan Sarawak-Kalimantan dapat meningkatkan sosioekonomi penduduk Sarawak terutama masyarakat tinggal di kawasan berdekatan.

Pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di kawasan sempadan tersebut membuktikan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan kandungan terma-terma dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Demikian kata Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Abun Sui Anyit dalam satu kenyataan mengulas mengenai pengunguman peruntukan awal berjumlah RM1 bilion bagi membangunkan infrastruktur asas di kawasan sempadan Sarawak- Kalimantan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

Dalam pada itu, Abun berharap supaya ICQS di Tapak Megah dekat Long Busang akan dinaik taraf.

Beliau juga berharap agar jalan raya menghubungkan Nusantara Indonesia dengan Sarawak boleh dibina dari sempadan Malaysia terus ke Bintulu melalui Daerah Belaga, Hulu Rajang.

“Kita sangat yakin dengan tekad politik Perdana Menteri kita usaha ini dapat direalisasikan.

“Seperti Presiden Indonesia, Joko Widodo boleh membuka Nusantara sebagai Ibu Negara Indonesia yang baharu, tidak mustahil Perdana Menteri boleh membina lebuh raya menghubungkan Bintulu-Belaga seterusnya ke ICIQS Tapak Megah kerana Indonesia telah bersedia lebih awal.

“Dengan adanya lebuh raya penghubung Sarawak, Malaysia melalui Daerah Belaga, akan membawa ledakan ekonomi untuk rakyat Sarawak amnya dan penduduk di Hulu Rajang khasnya.

“Bahkan menerusi kerjasama Kerajaan Sarawak akan memudahkan lagi infrastruktur lebuh raya ini dapat dilaksanakan,” ujarnya.