Tindakan yang membangkitkan kemarahan umat Islam

0
28
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan rasa kesal  tindakan Kerajaan Sweden yang membenarkan seorang ahli politik pelampau kanan, Rasmus Paludan membakar al-Quran di Stockholm baru-baru ini.

Kata bekas Perdana Menteri itu,  tindakan ini telah mengguris serta membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

“Sweden sepatutnya sedar mereka tidak hidup bersendirian di dunia ini malah mempunyai negara sahabat berpenduduk Islam.

“Kebebasan bersuara dan hak asasi manusia bukanlah alasan untuk menghalalkan perbuatan ini kerana ia jelas bertentangan dengan nilai mana-mana agama sekalipun,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata atas rasa tanggungjawab ekoran insiden itu, Sweden perlu melakukan permohonan maaf kepada seluruh umat Islam secara terbuka.

“Kerajaan Sweden harus memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan bukan hanya menzahirkan rasa simpati melalui media sosial.

“Kebebasan bersuara seharusnya dilaksanakan dengan cara yang bertanggungjawab melalui dialog dan toleransi,” katanya.

Terdahulu, pemimpin berhaluan kanan parti Stram Kurs itu membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye selepas mendapat permit kerajaan Sweden dengan dikawal ketat pasukan polis.

Aksi biadab Paludan yang turut menghina Islam itu menyebabkan Turkiye bertindak balas membatalkan lawatan Menteri Pertahanan Sweden, Pal Jonson ke negara berkenaan.

Tindakan  biadab itu juga menyebabkan umat Islam di beberapa negara menunjukkan kemarahan mereka.