Rumah Terbuka TBC eratkan hubungan masyarakat

0
30

KANOWIT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana telah mengadakan kunjungan rumah terbuka Tahun Baru Cina 2023 bagi kawasan Sungai Pidai.

Rumah terbuka tersebut merupakan anjuran komuniti Cina dari kawasan Sungai Bob hingga ke Sungai Bawan dan diadakan di kediaman Penghulu Leong Wen Khiong.

Dalam ucapan ringkasnya, beliau mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua yang menyambutnya.

Jelasnya, tahun arnab pada tahun ini pastinya sangat istimewa dengan banyak kekuatan, tenaga dan perpaduan bagi semua kaum.

“Sebelum ini, Tahun Baru Cina tidak dapat disambut dengan meriah ekoran negara kita masih lagi dilanda wabak COVID-19.

“Syukur kerana pada tahun ini  perayaan ini dapat disambut dengan meriah oleh semua masyarakat di Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, melalui sambutan seperti ini ahli keluarga, kenalan dan orang ramai dapat berkumpul bersama seperti sebelum ini untuk meraikan Tahun Baru Cina.

Beliau juga berharap sambutan bagi perayaan seperti ini akan dapat mengeratkan hubungan semua masyarakat.