Punca Pas tuai hasil besar pada PRU lalu

0
36

KUALA LUMPUR: Pas memungut hasil besar pada PRU15 baru-baru ini sesuai dengan hakikat, apa yang ditanam, itulah yang dituai.

Menurut AJK Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, perjuangan PAS bukan dengan membeli apa yang telah dimasak, lalu memakannya atau membeli bahan mentah di kedai, lalu memasaknya di dapur. Bukan.

“Bahkan PAS bertani dan menanam. Dari kebun yang kecil, kemudiannya menjadi ladang yang lebih besar. PAS berkeringat dan berjemur matahari bertahun-tahun. Atau katakan sahaja, berpuluh-puluh tahun lamanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, wang yang ada disimpan sedikit demi sedikit, kemudian dilaburkan pada tanah.

“Resmi berbudi pada tanah, kenalah mengalas perut dan kadang-kadang, mengikat perut,” katanya.

“Jangan kata PAS memberi wang pada rakyat. PASlah yang lebih banyak menerima wang daripada rakyat. Yang kaya dengan keluasan telapak tangan dan yang miskin dengan keluasan dada. Masing-masing melabur untuk masa depan. Janji pahala. Ada yang berleter dan mencemuh, rasuah pahala katanya,” katanya.

“Sampai masanya ia mula belajar berbuah. Ada isi buruk, dibuang sahaja. Isi yang baik, pakat-pakat merasa secubit seorang. Indah dan segarnya makan di bawah teduhan hijau pohonan yang mula merimbun,” ujarnya.

“Tiba-tiba awan dan tanah membuat pakatan. Siang berangin, malam berhujan. Langit mengarah, bumi bekerja. Pucuk daunan bertukar bunga memekar. Putik-putik meluruh banyak demi menghasilkan buah-buah yang besar, sihat dan berkelas eksport,’ katanya.

“PAS akhirnya menang di ladangnya. Hari ini PAS masuk pasar untuk memasarkan, bukan sekadar sebagai pembeli. Bahkan PAS mencergaskan pasaran politik tanah air yang muram dengan ketidaktentuan,” tambahnya..

Barangan palsu kini mudah dikesan dan dihindari dengan perbandingan dan hadirnya barangan asli yang jitu, bermutu dan ekonomik.

Hari ini, PAS hanya perlu menumpukan kepada dua perkara utama. Pertama, perlu terus membaja dan memugar ladangnya. Kedua, mula memahirkan diri dalam dunia pasaran yang terbuka dan sengit. Selebihnya adalah terus membuka ladang demi ladang.

Kuasa dan kedudukan sudah menjadi sangat penting bagi Pas

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang membuktikan bahawa memang berlaku pemberian wang semasa Pilihan Raya Umum (PRU) PRU-15 yang lalu.
Menurut beliau yang juga Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) langkah seterusnya adalah seolah-olah cuba ‘menghalalkan’ perkara berkenaan.
“Kemudian mereka cuba “menghalalkan ” apa sahaja perbuatan mereka yang ternyata salah dari segi peraturan . Lebih membahayakan mereka mengaitkannya dengan agama supaya dilihat suci bersih,” katanya melalui kenyataan di Facebook.
“Inilah budaya dan sikap Pas sejak dulu. Pihak lain semuanya salah dan sebaliknya tidak salah kalau mereka yang lakukan,” katanya.
Kata beliau, realitinya kini Pas sudah banyak berubah.
“Kuasa dan kedudukan sudah menjadi sangat penting bagi Pas dan kerana itu prinsip, pendirian serta peganggan mereka akan berubah kerana itu. Mereka sanggup lakukan apa sahaja demi kuasa dan kedudukan. Ini hakikatnya,” ujarnya.

Dua hari lalu, Hadi Awang yang dipetik media menyifatkan pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan kerana ia hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam.
Presiden Pas itu berkata demikian ketika mengulas tindakan UMNO Terengganu yang memfailkan petisyen bagi kerusi Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman dengan alasan wujud rasuah kepada pengundi di ketiga-tiga kerusi terbabit ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh beri (wang), tetapi orang awam mahu beri sedekah maka terpulang kepada dia,” katanya.