Ops SAR lelaki hilang di Bintulu ditamatkan

0
29
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak FOTO:FB

BINTULU : Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang semasa memancing di tebingan sungai di belakang sebuah pasar raya di sini, ditamatkan petang semalam.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memberitahu, operasi yang memasuki hari keempat itu dilakukan dengan kaedah pencarian di sekitar kawasan tebing muara Sungai Kemena sejauh tiga kilometer (km) dari Pusat Kawalan Bomba (PKB).

“Kita menggunakan bot penyelamat dalam keluasan tiga km ke hulu dan persisiran pantai Jepak menuju ke Tatau namun mangsa gagal ditemui,” katanya dalam satu kenyataan.

Berikutan itu, operasi ditamatkan atas persetujuan pegawai polis, pegawai residen dan bomba namun, sekiranya mempunyai tanda-tanda mangsa dijumpai operasi SAR akan di sambung semula.

Dalam kejadian pada Jumaat itu, Willa Fredo Sabai, 29, dilaporkan tidak kembali ke rumah selepas dipercayai keluar untuk memancing di lokasi berkenaan.

Berdasarkan laporan polis, keluarga mangsa telah menjumpai pakaian dan selipar milik mangsa di tebingan belakang bangunan pasar raya itu.

“Lelaki itu dikatakan keluar rumah pada jam 4.00 petang Jumaat menggunakan baju t-shirt warna biru dan seluar jean bewarna biru serta berselipar biru. Sehingga kini mangsa masih belum balik dan hanya barangan miliknya masih berada di lokasi tersebut,” ujarnya.