Lelaki tempatan didenda RM1,500 kerana…

0
25
Gambar hiasan

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine, 12 tahun yang lalu.

Tertuduh Muhd Aminur Syafiq Julaihi, 29, dari Kampung Bintangor mengaku bersalah selepas satu pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Farah Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, Aminur melakukan kesalahan itu di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuching, sekitar jam 3.45 petang, 4 Julai 2012.

Oleh itu, tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15(1) sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.

Siti Farah memerintahkan tertuduh di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjara.

Berdasarkan fakta kes, saringan awal air kencing tertuduh yang berusia 19 tahun masa itu didapati positif dadah semasa ditahan di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kuching.

Sampel urin tertuduh kemudian dibawa ke Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak dan laporan mengesahkan tertuduh positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.