Cadangan pendigitalan LKM Sarawak 

0
32

KOTA SAMARAHAN: Penyedia aplikasi pengurusan perladangan digital, Nectar Consortium Sdn Bhd berhasrat memperkasakan Lembaga Koko Malaysia (LKM) Cawangan Sarawak dalam pendigitalan pertanian menerusi sistem TEROKA.

Menurut UKAS, TEROKA merupakan sebuah sistem versi mini kepada Aplikasi Pengurusan Estet Digital (DEMA) yang mengandungi empat ciri utama iaitu Ladang Pintar Teroka, Pengedaran Teroka, Pemasaran Teroka, dan Kemahiran Teroka.

Ia direka untuk pendigitalan proses kerja dalam sektor perladangan, sekaligus menangani masalah kekurangan buruh.

Pengarah Urusan Nectar Consortium Sdn Bhd Ahmad Tarmizi Mukhtar berkata, sistem TEROKA juga dapat mengurangkan kos operasi yang mana ia merealisasikan pendekatan dari ladang ke meja.

Ujarnya, ia berupaya meningkatkan hasil kira-kira antara 30 hingga 35 peratus secara purata.

Beliau berkata demikian semasa melawat ke Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko LKM di sini baru-baru ini.

Dalam lawatan itu, Nectar Consortium bersama Koperasi Warga Institut Koperasi Malaysia (KoIKMa) Berhad, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan LKM Cawangan Sarawak telah bersetuju untuk meneroka peluang pertanian kontrak dalam usaha mengekal dan meningkatkan pengeluaran koko.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Modal Insan IKMa Mohd Zaib Mat Yunus, Pengarah IKMa Zon Sarawak Siti Maimunah Jerni, Pengurus Pusat LKM Navis Maisin, Pegawai penyelidik LKM Winoryantie Sulaiman serta beberapa wakil dari Ibu Pejabat IKMa dan IKMa Zon Sarawak.