Terima mesej bekas teman wanita 150 kali sehari, lelaki hampir bunuh diri

0
29

CHESHIRE: Tindakan seorang wanita yang mengganggu hidup bekas teman lelakinya dengan menghantar lebih 1,000 mesej meminta hubungan mereka kembali seperti biasa menyebabkan lelaki tersebut hampir-hampir membunuh diri, lapor TheIrishSun.

Wanita tersebut, Michelle Felton, 28, dikatakan begitu tergila-gilakan Ryan Harley sehingga dia menelefon atau menghantar mesej kepadanya sehingga 150 kali setiap hari selepas Ryan memutuskan hubungan dengannya.

Felton yang bekerja di Specsavers, menghantar beberapa mesej kepada Harley setiap hari, bertanya kepadanya: “Kenapa awak tidak mahu bercakap dengan saya? Saya cinta akan awak.

Foto: hiasan-text (Youtube)

Adakah kita akan berjumpa malam ini? Adakah kita akan keluar?”

Harley, yang tinggal bersama ibunya di Pelabuhan Ellesmere, Cheshire akhirnya menghubungi polis selepas Felton mula meninggalkan hadiah di depan pintu rumahnya.

Harley mendakwa Felton mengawalnya selama 21 bulan hubungan mereka, memberitahu pegawai: “Saya hanya mahu pergi dari hidupnya dan semua gangguannya dihentikan.

Saya rasa hendak membunuh diri kerananya.”

Pasangan itu mula berkenalan pada Mei 2020, tetapi berpisah pada Februari 2022 selepas berlaku pertengkaran setelah Harley secara tidak sengaja mematahkan jari Felton dan Felton pula membalasnya dengan menendangnya di pangkal paha.

Polis bertindak menahan Felton selepas menerima aduan Harley bersama-sama bukti mesej dan barangan yang diberikan Felton kepadanya.

Di Mahkamah Majistret Warrington, Felton mengaku melakukan gangguan selepas pengakuan tidak bersalahnya terhadap tingkah laku paksaan diterima oleh pendakwa raya.

Dia dilarang menghubungi Harley selama 18 bulan dan dijatuhkan hukuman perintah komuniti selama 18 bulan dengan syarat dia menyertai aktiviti pemulihan selama 30 hari.

Dia juga didenda RM266 (£50) dan diarah membayar kos mahkamah untuk mangsa sebanyak RM2,100 (£395).