Sabung ayam: Lapan lelaki bertempiaran lari

0
24

KAPIT: Lapan lelaki berjaya ditangkap setelah lari bertempiaran apabila diserbu pihak polis ketika menyabung ayam di kawasan lapang, Rh Nyawai, Jalan Bena di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kapit Asisten Superintendan Anthony Apui berkata, kesemua yang ditahan berumur lingkungan 35 hingga 67 tahun.

Bertindak atas makluman awam, katanya, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit telah menyerbu kawasan terbabit kira-kira jam 3.30 petang.

“Setibanya di tempat tersebut, sekumpulan orang telah bertempiaran melarikan diri ke kawasan hutan yang berdekatan setelah menyedari kehadiran polis.

“Pasukan polis telah bertindak mengejar dan berjaya melaksanakan tangkapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, beberapa barangan dan peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan judi sabung ayam turut dirampas.

Beliau memberitahu, siasatan mendapati kegiatan tersebut telah bermula jam 2 petang sebagai aktiviti sempena Tahun Baharu Cina.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962 membawa kepada hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara tidak melebihi tiga bulan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memberi peringatan kepada masyarakat awam agar sentiasa patuh kepada arahan oleh pihak berkuasa dan meminta supaya tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang negara.