Kuasa dan kedudukan sudah menjadi sangat penting bagi Pas

0
37
Dr Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang  membuktikan bahawa memang berlaku pemberian wang semasa Pilihan Raya Umum (PRU) PRU-15 yang lalu.

Menurut beliau yang juga Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) langkah seterusnya adalah seolah-olah cuba ‘menghalalkan’ perkara berkenaan.

“Kemudian mereka  cuba  “menghalalkan ” apa sahaja perbuatan mereka yang ternyata salah dari segi peraturan . Lebih membahayakan mereka mengaitkannya dengan agama supaya dilihat suci bersih,” katanya melalui kenyataan di Facebook.

“Inilah budaya dan sikap Pas sejak dulu. Pihak lain semuanya salah dan sebaliknya tidak salah kalau mereka yang lakukan,” katanya.

Kata beliau, realitinya kini Pas sudah banyak berubah.

“Kuasa dan kedudukan sudah menjadi sangat penting bagi Pas dan kerana itu prinsip, pendirian serta peganggan mereka akan berubah kerana itu. Mereka sanggup lakukan apa sahaja demi kuasa dan kedudukan. Ini hakikatnya,” ujarnya.

Dua hari lalu, Hadi Awang yang dipetik media  menyifatkan pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan kerana ia hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam.

Presiden Pas itu berkata demikian ketika mengulas tindakan UMNO Terengganu yang memfailkan petisyen bagi kerusi Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman dengan alasan wujud rasuah kepada pengundi di ketiga-tiga kerusi terbabit ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh beri (wang), tetapi orang awam mahu beri sedekah maka terpulang kepada dia,” katanya.