Kerajaan bertekad turunkan harga bahan mentah

0
33
Datuk Seri Anwar Ibrahim

BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sememangnya menumpukan usaha mencari penyelesaian bagi menurunkan harga bahan mentah.

Beliau berkata, ia termasuk memastikan pengeluaran mencukupi serta memberi dukungan kepada pengeluar domestik bagi produk telur, ayam dan sayuran.

Anwar mengulas mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahukan kerajaan mencari jalan penyelesaian untuk menurunkan harga bahan mentah.

“Tidak apa kita dengarlah pandangan dia (Ismail Sabri).

Saya pun mampu banding sebulan setengah menteri berkenaan yang bekerja, itu kalau saya bandingkan, saya boleh akui yang dilakukan sekarang lebih bersungguh-sungguh,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kenduri Rakyat di kampung halamannya di Cherok Tok Kun di sini malam tadi seperti dilapor Bernama.

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, Anwar berkata, dalam masa singkat sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri, kehadiran pelabur antarabangsa dari Eropah, China dan Amerika Syarikat di Malaysia jauh lebih memberangsangkan dari tahun-tahun sebelum ini.

“Alhamdulillah dengan keyakinan ini, ringgit telah mengukuh.

Kalau mata wang kita jatuh, ini akan menyebabkan kos import tinggi dan meningkatkan harga barang.

Apabila harga barang naik termasuk harga makanan, ini akan membebankan rakyat,” katanya.