Dua projek baharu untuk masyarakat Cina Matu

0
21

MATU: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan dua lagi projek baharu yang bakal dimanfaatkan oleh masyarakat Cina di daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, projek berkenaan ialah naik taraf sistem peparitan di kawasan pasar lama Matu dan pembinaan pintu gerbang baharu di atas jambatan yang merentangi sungai Matu.

Usaha itu diyakini memberi manfaat kepada penduduk dan kesejahteraan kampung apatah lagi pekan lama Matu yang mempunyai kaitan dengan sungai, justeru, sistem pengairan air sangat penting khususnya ketika air pasang dan musim tengkujuh.

Datuk Dr Juanda Jaya menyampaikan sumbangan MRP kepada JKKK Pasar Lama dan Pasar Lama Matu sempena kunjungan Tahun Baharu Cina di Matu, pada Isnin.

“Manakala, pembinaan pintu gerbang baharu di atas jambatan bukan sahaja mencantikkan lagi kawasan itu tetapi juga bakal menjadi tarikan baharu kepada pengunjung.

“Pelaksanaan projek ini juga membuktikan komitmen berterusan kerajaan bagi memastikan masyarakat Cina di Matu tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Malah, keperluan mereka juga sentiasa di pantau dari masa ke semasa,” katanya pada Majlis Ziarah Tahun Baharu Cina di sini, semalam.

Juanda yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Integriti Dan Ombudsman menegaskan, kerajaan tidak pernah meminggirkan kepentingan masyarakat Cina Matu, walaupun mereka kaum minoriti di daerah itu.

Malah ujarnya, meskipun jumlah masyarakat Cina Matu sekitar dua peratus sahaja namun, kerajaan tetap membawa pembangunan untuk mereka.

“Pada masa yang sama, kerajaan juga memberi jaminan untuk terus menumpukan kepada usaha memperkasa komuniti masyarakat Cina khususnya di luar bandar,” katanya.