Budaya derma menjadi sebati dalam perjuangan PAS

0
32
Razman Zakaria

KUALA LUMPUR: Menyamakan PAS yang menghidupkan budaya infaq atau sedekah dengan rasuah yang sedang dihadapi oleh pemimpin UMNO itu menunjukkan kecelaruan yang membahayakan negara, kata Pesuruhjaya PAS perak Razman Zakaria.

Menurut beliau, apatah lagi yang ditegaskan oleh Presiden PAS ialah derma dan sedekah orang awam sekalipun di musim pilihan raya.

PAS Perak telah lama menghidupkan budaya infaq atau derma yang menjadi tuntutan Islam.

Terkini PAS Perak sedang menggerakkan usaha membangunkan kompleks sendiri atas tanah seluas sepuluh ekar hasil infaq dan derma yang digerakkan melalui kutipan di kawasan-kawasan PAS,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, usaha itu diteruskan lagi untuk membina bangunan yang akan dibuat secara beransur-ansur. 

Menurutnya, PAS Perak juga baru-baru ini melancarkan kutipan derma untuk membeli kenderaan pacuan empat roda bagi kegunaan Jabatan Amal menghadapi musibah dan bencana yang seringkali melanda negara.

“Di seluruh negara rakyat akan bertemu dengan markas-markas PAS hinggakan peringkat cawangan.

Ia milik parti dari sumbangan ahli.

Selain itu institusi Pendidikan PAS juga dibina atas sumbangan derma sama ada di musim atau di luar musim PRU.

Tiada parti selain PAS yang miliki pusat dan markas hingga peringkat cawangan.

Semua aktiviti PAS adalah derma ahli dan rakyat yang prihatin hingga PAS dikenali dengan parti tin milo,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa budaya derma telah menjadi darah daging dan sebati dalam perjuangan ahli PAS. 

“Mungkin mereka yang biasa bergelumang dengan rasuah melihat setiap pemberian itu bermaksud kepentingan diri.

Bagi PAS dan ahlinya setiap sumbangan derma bermatlamat akhirat dan rasuah adalah sesuatu yang keji dalam Islam,” katanya.