Rumah terbuka budaya unik

0
30
LEE KIM SHIN

MIRI: Budaya rumah terbuka pada musim perayaan merupakan sesuatu yang unik untuk masyarakat berbilang kaum di Sarawak. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, beliau bangga melihat gaya hidup masyarakat di negeri ini kerana sentiasa menyokong antara satu sama lain.

“Tidak kira Tahun Baharu Cina, Hari Raya, Gawai, Deepavali atau Krismas, setiap lapisan masyarakat akan menyambut perayaan ini secara bersama.

“Pada masa sama, kita boleh belajar adat resam masing-masing dan mewujudkan komuniti harmoni dengan semua hidup bersama secara aman dan bersatu padu.

“Rakyat negeri ini bertuah kerana Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tegas dan berterusan melindungi kebebasan beragama di negeri ini serta menolak unsur ekstremisme,” katanya.

Menurutnya, kepelbagaian budaya dan kaum di negeri ini menjadi sumber keindahan serta kekuatan kerana setiap lapisan masyarakat bebas mengamalkan budaya, tradisi dan agama tanpa halangan.

“Semasa pendemik Covid-19, banyak cabaran berlaku kepada masyarakat.

Kerajaan Sarawak di bawah GPS menyedari perkara ini, sekali gus menyediakan pelbagai bantuan dalam bentuk wang tunai, subsidi, penangguhan bayaran dan pinjaman melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS),” ujarnya.

Kim Shin berkata, Kementerian Pengangkutan Sarawak dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM6.1 juta secara sekali beri di bawah BKSS kepada pengusaha van berlesen, pengusaha bot, pemandu teksi, pengusaha bas dan van sekolah, pemandu e-panggilan serta tenaga pengajar memandu bagi meringankan beban mereka,” jelasnya.

Sementara itu menurutnya, kementeriannya turut menjalinkan kerjasama dengan agensi seperti Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Malaysia Airports Holding Berhas (MAHB) selain mewujudkan hubungan rapat dengan syarikat penerbangan.

“Ini untuk meningkatkan kesalinghubungan udara dengan lebih banyak penerbangan dari Semenanjung Malaysia dan antarabangsa.

Dengan adanya hubungan dan keupayaan lapangan terbang lebih baik, saya percaya ia bukan sahaja meningkatkan industri pelancongan tetapi juga perniagaan.

“Tahun ini, kementerian saya bersama Majlis Keselamatan Jalan Raya Sarawak (SRSC) akan terus menerapkan amalan keselamatan jalan raya melalui pengaktifan semula permainan lalu lintas,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya memandu dengan selamat dan sentiasa berwaspada terutama semasa hujan.

“Bagi mereka yang pulang ke kampung, rancang perjalanan lebih awal bagi mengelak kelewatan, jangan tergesa-gesa, elak memandu laju, kekal fokus dan pastikan tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu,” tambahnya.