Polis buru suspek gaduh di Siburan

0
46

PADAWAN: Polis sedang giat mengesan suspek terlibat dalam kejadian pergaduhan di parkir letak kereta berhadapan sebuah pasar raya di Siburan, di sini.

Video memaparkan pergaduhan berdurasi satu minit 24 saat turut dimuat naik di laman Facebook.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan pihaknya menerima laporan pada 18 Januari lalu daripada salah seorang mangsa dalam kejadian tersebut.

Katanya, kejadian berpunca daripada isu tidak berpuas hati kerana kereta terhalang.

“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan objek.

“Turut disiasat di bawah Seksyen 148 dan 427 Kanun yang sama atas kesalahan merusuh dengan senjata dan juga perbuatan khianat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abang Zainal berkata, kes ini masih dalam siasatan.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan kenyataan tidak berasas kerana ia boleh menjejaskan siasatan secara telus.

“Sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut diminta menyalurkan ke bilik gerakan IPD Padawan di talian 082-862233,” katanya.