Naik taraf tiga pasar di Sg Maong

0
33

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) masih menunggu maklum balas daripada Kerajaan Negeri bagi tindakan menaik taraf tiga pasar di Sungai Maong, Batu 7 dan Batu 10.

Pengerusinya, Lo Khere Chiang berkata, surat permohonan berkaitan perkara tersebut telah dikemukan kepada Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU).

“Jadi MPP sekarang hanya menunggu keputusan kerajaan negeri untuk memberikan peruntukan supaya kita dapat melaksanakannya.

BERCAKAP…. Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Lo Khere Chiang (tengah) ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di kediamannya di Batu Kawa.

“Setakat ini (sehingga 23 Januari) kita masih belum mendapat sebarang maklum balas positif,” katanya ketika ditemui di kediamannya sempena majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina, hari ini.

Tegas Lo yang juga merangkap Ahli dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Kitang, setiap lokasi pasar yang perlu dinaik taraf sekurang-kurangnya memerlukan RM10 juta ke RM20 juta.

Ditanya bila kali terakhir pihak MPP melaksanakan tindakan permohonan susulan, Lo menjawab ia telah dilakukan oleh pihak MPP namun dijangka akan memakan masa bagi proses perancangan teliti.

“Permohonan itu semestinya memakan masa berikutan ketiga-tiga kawasan itu sangat sesak serta banyak perkara lain yang kita mahu pertingkatkan,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau mengakui projek terbabit adalah untuk menaik taraf dan penambahan bangunan di lebihan lokasi lama sedia ada.

Terdahulu majlis rumah terbuka Lo turut dimeriahkan oleh kehadiran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kira-kira jam 1.20 tengah hari.

Abang Johari hadir bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, dan Timbalan Menteri Undang-Undang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Hubungan Menteri Negeri-Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.