Kembalikan tanah dipajak jika tiada projek

0
28

KUCHING: Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengembalikan tanah milik kerajaan negeri yang dipajak untuk tujuan pembangunan awam sekiranya tiada sebarang projek dilaksanakan di tanah terlibat dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia perlu dikembalikan kepada negeri dalam tempoh tersebut sekiranya tiada tanda ia akan digunakan atau dibangunkan sebarang projek dalam tempoh tiga bulan.

“Mengenai isu tanah, sejak tahun 70-an dan 80-an lagi Kerajaan Persekutuan mengambil tanah negeri untuk tujuan seperti pembinaan bangunan sekolah, kemudahan kesihatan, balai polis, balai bomba dan sebagainya.

“Tanah tersebut diambil dengan kos yang sangat rendah kerana ia untuk kepentingan awam.

Namun apa yang berlaku ada tanah-tanah yang diambil itu sehingga kini tidak ada sebarang projek dilaksanakan.

“Ia mungkin disebabkan tanah tersebut tidak sesuai atau tiada peruntukan walaupun dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di sini, Jumaat.

Justeru katanya, Kerajaan Persekutuan memberikan tempoh tiga bulan dari sekarang untuk mendapatkan kepastian mengenai semua status tanah yang terlibat di seluruh negara.

“Ini bukan hanya termaktub untuk Sabah dan Sarawak, ia juga terpakai untuk Semenanjung Malaysia walaupun yang mendesak ialah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Jadi keuntungan ini terpakai kepada semua.

“Saya juga fikir ia munasabah. Umpamanya, tanah yang dimohon pada tahun 1980, diluluskan 1981.

Namun sehingga sekarang belum ada sebarang pelaksanaan walaupun terdapat perancangan umum.

“Kalau benar tiada sekolah yang akan dibangunkan dan tiada peruntukan, maka tanah itu harus diberikan semula kepada Sarawak dengan harga asal.

”Dan mungkin Kementerian Kewangan akan menetapkan kos dari segi tersebut sahaja tetapi tidak munasabah untuk kita minta berdasarkan penilaian harga sekarang,” jelasnya.

Tambahnya, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof akan membuat pemantauan dan tindakan susulan mengenai perkara tersebut serta perlu melaporkan kepada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.