Bangunkan infrastruktur asas beri imej baik kepada negara

0
21

KUCHING: Adun Tebedu menyifatkan pengumuman Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan awal RM1 bilion bagi membangunkan infrastruktur asas di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan adalah tepat dan dinantinantikan.

Adunnya, Dr Simon Sinang Bada berkata, dengan itu, skala pembangunan di Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu dapat meningkatkan infrasturuktur dan tahap perkhidmatannya.

“Yang penting sekarang projek itu dilaksanakan dengan kadar segera agar dapat memberi imej yang baik kepada negara kita,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam.

Menurutnya, semasa persidangan Dun tahun lalu dalam ucapan pertamanya ada menyentuh mengenai ICQS Tebedu yang kelihatan mundur serta ketinggalan jika dibandingkan dengan negara jiran.

“Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM100 juta.

Pada pendapat saya jumlah itu amat kecil jika hendak menyamai skala pembangunan ICQS Indonesia,” jelasnya.

Selain itu, Dr Simon berharap pelaksanaan projek itu dapat menerapkan unsur dan nilai kaum Bidayuh dari segi reka bentuk bangunannya agar ia dapat melambangkan identiti rakyat Sarawak khasnya kaum tersebut.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan awal berjumlah RM1 bilion bagi membangunkan infrastruktur asas di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan.

Peruntukan awal itu dibuat susulan pembangunan ibu kota negara Indonesia, Nusantara di Kalimantan.

Peruntukan tambahan itu bertujuan untuk penyediaan Kompleks Imigresen, Kastam, ICQS, meningkatkan keselamatan sempadan dan meningkatkan keupayaan kedua-duanya.

Menurut Anwar, Malaysia tidak mahu dilihat terlalu daif dan disebabkan itu Kementerian Kewangan telah memberi kelulusan awal sebanyak RM1 bilion untuk memulakan kerja pembinaan projek tersebut dalam tempoh segera.